(25) Maafkanlah kami
أ َ سـْــتـَـغـْـفـِـرُ الله، رَبَّ الـْــبـَرَايـَـا
أ َ سـْــتـَـغـْـفـِـرُ الله، مِــنَ الـْــخـَــطَايـَــا
Ya Allah, sesungguhnyakami hambaMu yang sentiasa melakukan kemungkaran yang menyebabkan kemurkaanMu. Kami adalah hambaMu yang tidak pernah bersyukur mahupun berterima kasih dengan semua pemberianMu, ya Rabb. Ampunilah kami. Kami hambaMu yang lemah.
أ َ سـْــتـَـغـْـفـِـرُ الله، رَبَّ الـْــبـَرَايـَـا
أ َ سـْــتـَـغـْـفـِـرُ الله، مِــنَ الـْــخـَــطَايـَــا
Hati kami sedih, tidak terdaya malah sentiasa tewas dengan nafsu sendiri. Kami memohon keampunanMu, wahai Pemilik Hati kami. Kami yang melakukan kemusnahan kepada dunia ciptaanMu dengan kerakusan kami, kami memohon kemaafan dariMu, wahai Allah Yang Maha Pengasih.
أ َ سـْــتـَـغـْـفـِـرُ الله، رَبَّ الـْــبـَرَايـَـا
أ َ سـْــتـَـغـْـفـِـرُ الله، مِــنَ الـْــخـَــطَايـَــا
Bersihkanlah kami dari segala dosa-dosa terdahulu. Terbitkanlah kami rasa bersalah apabila kami melakukan sesuatu yang menyebabkan kemurkaanMu, wahai Yang Mampu Memecahkan Jabal-jabal. Kami berserah kepadaMu, hanya kepadaMu tempat kami berserah, tiada yang lain. Ampunilah kami.
(24) Istighfar
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Setelah sekian lama menggunakan platform Tumblr, ana berasa terpanggil ke sini.
Iman itu bagaikan putaran roda, sebentar ianya berada di atas, sebentar lagi ianya berada di bawah. Namun, itulah hakikat sebuah kehidupan. Sebaik-baik sebuah kehidupan adalah istiqamah dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Sekiranya kita gagal istiqamah dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, maka dengan itu, lebih baiklah kita sentiasa bertaubat setelah melakukan kemungkaran samada secara sengaja mahupun tak sengaja. Itulah tajuk yang ingin ana sampaikan pada hari ini, Istighfar.
Istighfar adalah memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan kalimat "Astaghfirullahal'adzim" atau kalimat lain yang sama makna. Pernahkah kita merasakan diri kita ini hina, berlumuran dengan dosa, kotor, jijik ataupun yang seangkatan dengannya? Astaghfirullahal'adzim. Sesungguhnya tidak ada yang maksum selain daripada Nabi dan Rasul yang telah diangkat olehNya. Istighfar adalah antara doa keampunan setelah kita sedar bahawa kita melakukan kesilapan yang menyebabkan kemungkaran Allah SWT. Mudah, ringkas dan padat, tapi tidak ramai yang rajin membasahi lidah mereka dengan istighfar termasuklah diri ini yang serba kekurangan.
"Istighfar merupakan yang paling utama dan patut selalu dilakukan oleh seorang muslim" (Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki)
Rabiatul Adawiyah pernah menyebutkan; "Istighfar 'ala istighfar". Iaitu satu Istighfar disebutkannya memerlukan istighfar lagi untuk istighfar itu. Kerana mungkin saja istighfar yang pertama itu lari niatnya. Sengaja nak ditunjuk-tunjuk supaya disebutkan kita ni seorang yang selalu beristighfar. Lalu ia tak diterima Allah. Itu tahapan Rabiatul Adawiyah yang bersih hatinya. Beliau diiktiraf sebagai ahli sufi yang sangat tawadhu' kepada Allah.
Antara sedutan daripada kisah-kisah Rabiatul Adawiyah. Antum bolehlah google tentang kisah-kisah para sufi yang lain. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati kita semua. Astaghfirullahal'adzim sekiranya ana menulis artikel ini dengan rasa riak, ujub mahupun takabbur. Semoga Allah ikhlaskan hati ini untuk berjuang dan meneruskan perjuangan para Anbiya' terdahulu. Wallahualam. Assalamualaikum.