Amalan Berdasarkan Niat
Petikan diambil dari Pena Bertatih
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a., kata beliau: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hanyasanya (sah atau sempurna) segala amalan dengan niat. Hanyasanya untuk setiap orang apa yang dia niatkan. Oleh itu sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya.”
“Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada tujuan dia berhijrah tersebut.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kita dapat lihat betapa Agama Islam yang diturunkan Allah azzawajalla ini mengajar kita setiap inci perkara mengenai kehidupan dan cara-cara untuk menjalaninya. Dalam konteks ini, Islam mengajar kita untuk berniat. Perkara niat mungkin nampak kecil tetapi implikasinya adalah sangat besar. Kita diajar untuk bermula dengan pengakhiran di minda.
Dalam sesuatu organisasi, apa yang penting adalah misi dan visi. Tanpa visi dan misi yang jelas, organisasi itu tidak akan berjaya malah pada hemat saya, tidak akan dapat bergerak sekalipun. Ia seperti orang yang bermain golf tanpa lubang dan bermain bola tanpa gol. Tiada tujuan dan matlamat.
Hadith amalan berdasarkan niat ini mengajar kita untuk mempunyai tujuan dan matlamat dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dalam konteks lain, Islam mengajar kita untuk tentukan Goal kita terlebih dahulu sebelum mengorak langkah melakukan sebarang kerja. Lebih dari itu, kita umat islam diajar untuk tetapkan matlamat itu hanya kepada Allah.
Apa signifikannya menetapkan matlamat hanya kepada Allah?
Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu menjelaskan beberapa persoalan philosophy. Kita tahu, kehidupan dunia ini adalah sementara, dan kita tahu segala apa yang ada di atas dunia ini adalah sementara. Apa yang wujud dan kekal hanyalah Allah swt. dan kita semua ini pasti pada suatu hari nanti akan dibangkitkan. Kehidupan di dunia ini pula hanyalah kehidupan sementara malah hanyalah permainan dan gurau senda semata-mata:
“Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia tu hanyalah permainan dan sendagurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlomba dalam kekayaan dan anak keturunan seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning dan kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridaannya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu” Al Hadid, ayat 20.
Jika kita tidak meniatkan kerja buat kita hanya kepada Allah, secara automatiknya kita akan meniatkan pekerjaan serta amalan kita kepada benefits yand ada di dunia seperti permainan, perhiasan dan saling berbangga, serta berumba dalam kekayaan dan anak keturunan. Niat melambangkan mahu. Maka jika diniatkan kepada keduniaan maka dunialah yang kita mahu dan mengikut sunnah Allah, dunialah yang didapatinya. Ini lah yang berlaku kepada ‘Muhajir Ummu Qais’.
Sebaliknya jika kita meniatkan perbuatan ikhlas kepada Allah, kita menolak kemahuan keduniaan atau benefit keduniaan yang kita akan dapat hasil dari niat itu. Apa yang kita mahu hanyalah redanya. Dengan memasang niat yang ditujukan hanya untuk Allah, kita sebenarnya telah memulakan langkah dengan pengakhiran di minda (Begin with the end in mind). Pengakhiran itu adalah hari akhirat, hari pembalasan. Maka apabila kita meniatkan perbuatan kita kerana Allah, natijahnya kita akan mendapat balasan di hari pengakhiran nanti.