Solat

Posted by Mohammad Afieq ibn Ismail on Wednesday, March 3, 2010 | 0 comments

PENGERTIAN SOLAT

Maksud solat adalah ibadat kepada Allah yang dikerjakan dengan penyertaan anggota badan, lidah dan hati menurut aturan khusus pada waktu-waktu yang ditetapkan. Lebih jelas apa yang dikatakan solat ialah :

  1. Beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratulihram dan diakhiri dengan salam. Dengan perbuatan itu kita beribadat kepada Allah menurut syarat dan cara-cara yang ditentukan.
  2. Menghadapkan hati dan jiwa kepada Allah disertai dengan niat dan rasa takut serta rendah diri kepadaNya, sambil mengakui keagungan, kesempurnaan dan kekuasaanNya.
  3. Menyatakan hajat dan keperluan kita kepada Allah yang kita sembah, dengan perkataan dan perbuatan yang dilakukan serentak.
  4. Berhadapan dengan Allah dengan penyertaan seluruh jiwa dalam keadaan khusyuk dan rasa ikhlas sambil berzikir, membesarkan Allah dan berdoa 1

MENGAPA SOLAT?

Setiap orang mukmin wajib mengerjakan solat atau sembahyang kerana solat itu adalah perintah dari Allah supaya didirikan oleh setiap mukmin lelaki dan perempuan. Antara Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 110:

Maksudnya :
"Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan."


1 Buku bertajuk " Solat Rasulullah" susunan Mustaffa Suhaimi, cetakan
Progressive Publishing House Sdn Bhd.

Surah An-Nisaa' ayat 103 :


Maksudnya :
"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."

Selain dari ayat-ayat al-quran yang menekankan tentang perintah sembahyang ke atas orang mukmin, ada pula sabda Rasulullah s.a.w yang menjelaskan tentang kewajiban solat antaranya:

Hadis Abi Mas'ud r.a katanya:

"Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Jibril telah turun sembahyang dengan mengimami aku. Lalu aku sembahyang bersamanya. Kemudian aku sembahyang bersamanya. Kemudian aku sembahyang bersamanya. Kemudian aku sembahyang bersamanya. Kemudian aku sembahyang bersamanya. Baginda menghitung dengan jari baginda semuanya sebanyak lima kali sembahyang"
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 959

Dalam satu hadis lain maksudnya berbunyi :

" Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama."
(Hadis riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)

Berdasarkan firman Allah dan hadis Rasulullah yang jelas dan tegas itu tidak ada alasan bagi orang mukmin untuk meninggalkan solat walau dalam apa keadaan sekalipun. Mengingkari perintah solat bererti menolak perintah Allah, dan barangsiapa yang menolak perintah Allah maka dia telah merosakkan imannya dan meruntuhkan agamanya.

Jika ikhwah dan akhawat ingin mengetahui firman-firman Allah selanjutnya mengenai kewajiban solat bolehlah dirujuk pada surah-surah berikut:

Surah Ayat :-
  1. Al- Baqarah 177
  2. Al- Baqarah 277
  3. An-Nisaa' 162
  4. Al-Maaidah 12
  5. Al-An'aam 72
  6. Al-An'aam 92
  7. Al-A'raaf 29
  8. Al-Anfaal 3
  9. At-Taubah 11
  10. At-Taubah 18
  11. At-Taubah 71
  12. Ar-Ra'd 22
  13. Ibrahim 31
  14. Ibrahim 37
  15. Ibrahim 40
  16. Taha 132
  17. Al-Hajj 78
  18. An-Nur 56
Blogger Templates