Mus'ab Umair
Mus’ab adalah pendakwah yang hebat, penuh kesungguhan dan kebijaksanaan, antara kisah yang masyhur dan telah diriwayatkan dalam kitab muktabar seperti Hayatus Sahabah karangan Sheikh Yusuf Al Kandahlawi dan Raheeq Makhtum, karangan Safiyyur Rahman Al Mubarakfuri berkenaan pengembaraan dakwah Mus’ab di Madinah adalah kisah pengislaman Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hudair, dua tokoh pemimpin dan golongan elit Madinah.
Driwayatkan bahawa suatu hari telah keluar bersama As’ad Bin Zurarah ke sebuah perkampungan Bani Zafar. Mereka duduk di tepi perigi Marq dan Mus’ab mengajarkan tentang Islam kepada golongan yang baru memeluk Islam.
Kelibat mereka telah dilihat oleh Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hadhir, lantas Saad mengarahkan Usaid agar menghalau Mus’ab dan halaqahnya dari situ. Saad membentak Usaid dengan berkata :
“Lihatlah dua pemuda itu yang telah memperbodohkan golongan-golongan kita, ayuh kau halaukan mereka dari sini, kalaulah bukan kerana As’ad Bin Zurarah itu anak saudaraku, nescaya aku sendiri yang akan menghalaunya”
Usaid lalu mengambil tombaknya lalu menuju kea rah perkumpulan Mus’ab dan As’ad, sebaik As’ad terlihat kelibat Usaid sedang menuju kearah mereka, As’ad terlihat satu potensi besar dan terus berkata kepada Mus’ab :
“Usaid itu adalah ketua kabilah dan itu dia sedang menuju ke sini, ku harap kau dapat jelaskan tentang kebesaran Allah kepadanya”
Usaid tiba di depan mereka sambil dengan marah membentak keras dan memberi amaran kepada mereka berdua agar segera beredar.
Mus’ab dengan tenang menjawab “Sudikah tuan duduk sebentar dan dengar dahulu apa yang ingin kami sampaikan, sekiranya kau senang dengan kata-kata kami, teruslah mendengarnya dan jika tuan tidak menyukainya, kami akan berhenti dan beredar dari sini”
Usaid lalu berkata “Itu adalah baik dan seadil-adilnya”, lalu Usaid memacakkan tombaknya ke tanah dan memberi perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan oleh Mus’ab.
Mus’ab lalu membaca beberapa potong dari ayat Al Quran dan menerangkan tentang Islam kepadanya. Ternyata kalimah kebenaran yang diungkapkan oleh jiwa suci Mus’ab Bin Umair pantas menusuk masuk ke dada Usaid, akhirnya Usaid bertanya
“Alangkah indahnya kalimah yang kau ungkapkan, bagaimana aku hendak memeluk agama ini?”
Mus’ab lalu berkata “Pertamanya, kamu harus bersuci kemudian membersihkan pakaian dan seterusnya mengucap dua kalimah syahadah dan akhirnya hendaklah kau tunaikan solat dua rakaat.
Usaid kemudiannya melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dan kemudian mencadangkan pula agar mereka mendakwahi Saad Bin Muadz pula, kata Usaid :
“Dibelakangku ada seorang lelaki yang mana jika beliau memeluk Islam, maka tidak seorang pun dari kaumnya yang tidak akan menurutinya”
Usaid kemudian menyusun pertemuan antara Saad dengan Mus’ab dan akhirnya dengan kebijaksanaan dakwah Mus’ab Saad masuk Islam hari itu juga dan seluruh kaumnya juga turut bersamanya memeluk agama kebenaran.
Itulah secebis kisah dari pengembaraan dakwah Mus’ab Bin Umair di Madinah, tiada pintu yang tidak diketuknya, Madinah bercahaya dengan Islam atas usaha dakwahnya.
Berita ini disampaikan kepada Rasulullah dimana Rasulullah ternyata amat gembira dan setelah itulah perintah untuk berhijrah mula dilaksanakan.
Mus’ab Bin Umair juga terlibat secara aktif dan memegang peranan penting dalam aspek pertahanan negara Madinah, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang panji-panji Islam ketika perang Badar dan perang Uhud. Ini membuktikan Mus’ab bukan sahaja pintar malah juga berani dan berkebolehan dalam peperangan.
Kisah keberanian Mus’ab ini terserlah dengan begitu jelas dalam peperangan Uhud, perang di mana taqdir Allah telah menetapkan kesyahidan bagi dirinya.
Mus’ab bin Umair dalam peperangan Uhud telah menunjukkan kecekalan yang luar biasa. Ketika keadaan menjadi genting dan berkecamuk bagi tentera-tentera Islam, tentera Musyrikin telah mengambil peluang ini untuk memporakperandakan barisan tentera Islam, dan cuba untuk menjatuhkan panji Islam yang dibawa oleh Mus’ab.
Dalam serangan hebat itu, tangan kanannya telah dicantas akan tetapi Mus’ab terus memegang panji itu dengan tangan kirinya pula, serangan demi serangan dilakukan terhadap Mus’ab dan tangan kirinya pula terputus, setelah itu beliau dengan sisa-sisa tenaga yang ada mengepit panji itu di antara dada dan lehernya hingga akhirnya beliau terbunuh syahid dibunuh oleh Ibnu Qami’ah.
Itulah pengakhiran kehidupan Mus’ab bin Umair di dunia ini, beliau tidak mati bahkan hidup disisi tuhannya dengan mendapat rezeki. Namanya harum mekar sepanjang zaman menjadi contoh belia terbaik. Semasa pengebumiannya, tiada kain yang cukup untuk menutup jasadnya, tetapi rohnya terbang tinggi bergembira memperoleh janji yang benar dari tuhannya. Mus’ab Bin Umair telah memilih kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia yang sebentar, masa mudanya dihabiskan untuk dakwah dan perjuangan. Sewajarnyalah kisah Mus’ab Bin Umair ini menjadi inspirasi kepada setiap pemuda Islam hari ini.
Mohd Hisham Mohd Sharif
Pengerusi PEMBINA Kedah