Gambaran pemikiran umat Islam hari ini
Part 3 of 5
Terdapat berbagai kelompok yang menyedari kegawatan permasalahan umat Islam kini. Namun usaha mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah utama umat Islam malah menimbulkan banyak lagi masalah lain. Ini berlaku akibat dari kekeliruan mereka dalam menangani masalah tersebut. Kelompok yang ikhlas ini terlalu menumpukan tenaga mereka dalam menyelesaikan masalah cabang, namun, terlepas pandang masalah yang lebih mendasar. Contohnya, penyelesaian masalah murtad yang hangat suatu ketika dahulu. Dalam mempertahankan kedudukan mahkamah syariah mereka juga bertekad untuk mengekalkan perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang kononnya melindungi umat Islam padahal permasalahan yang lebih mendasar adalah kedudukan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan ini, pada hakikatnya tidak didasarkan kepada aqidah Islam dan merupakan ciptaan manusia sedangkan hak untuk membuat hukum itu hanya terletak di tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh itu, isu yang menjadi dasar permasalahan yang sepatutnya diperhatikan adalah mengembalikan hukum Allah dalam aspek perundangan dan kenegaraan secara menyeluruh, bukannya berpuas hati dengan penyelesaian secara separuh-separuh.
Selain itu, natijah daripada diterapkannya sistem pendidikan sekular telah menimbulkan berbagai pemikiran yang rosak di dalam umat. Akibat dari acuan kekufuran yang telah ditanam di dalam pemikiran umat oleh sistem ini, mereka memandang nasionalisme, patriotisme dan demokrasi kapitalisme sebagai pemikiran yang benar dan mendarah daging di dalam tubuh mereka sehingga tidak kelihatan lagi pemikiran lain di dalamnya, apatah lagi pemikiran Islam. Malah ada yang menganggap bahawa kembali kepada Islam itu hanya memberi makna kembali ke zaman silam yang mundur. Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai pemikiran yang tidak lengkap dan uzur sehingga ia perlu diselaraskan, atau diubah, sekiranya perlu, agar selaras dengan perkembangan geo-politik dan sosio-ekonomi dunia. Inilah realiti pemikiran kaum Muslimin hari ini akibat dari penerapan ideologi kufur di tengah-tengah umat.